YAN – “Kejadian mala petaka ini berlaku terlalu pantas, batu besar dengan pokok-pokok hutan seolah-olah ‘berlumba-lumba’ menuju ke arah kami.”
Begitulah cerita Syazwan Anas Abdul Mutalib, 39, yang memberitahu dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, rumahnya di tepi Sungai Batu Hampar hampir ranap dihentam kayu balak dan batu besar.
Katanya, ketika kejadian, dia sedang mengalihkan beberapa barangan ke kawasan tinggi di halaman rumah, manakala datuk dan neneknya serta isteri bersama lima anak berusia dua hingga 11 tahun berada di dalam rumah.
“Kejadian berlaku terlalu pantas apabila Sungai Batu Hampar ini dilanda kepala air yang turut membawa sekali batang pokok hutan dan batu-batu besar.
“Air melimpah sehingga membentuk satu lagi aliran sungai menyebabkan kawasan rumah jadi seperti pulau dengan aliran deras air di kiri kanan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Ceritanya, dia melihat dinding rumah roboh dan air melimpah masuk ke dalam rumah seterusnya menghanyutkan anak lelaki, Muhammad Hadif, 11, dan neneknya, Kalsom Abdullah, 85.
“Anak lelaki saya sempat berpaut pada sebatang pokok, manakala nenek yang masih berada di atas tilam tersangkut pada pagar, kedua-dua mereka sempat diselamatkan.
“Sehingga kini, datuk saya yang juga terlantar sakit masih hilang akibat dihanyutkan arus deras selepas tembok dinding rumah tersebut pecah,” ujarnya.
Lebih 5,000 penduduk terjejas dengan hampir 200 daripadanya ditempatkan di pusat penempatan sementara.
Dalam pada itu, jirannya, Nasrullah Mujadidi Md. Zaini, 30, berkata, dia bersama kira-kira tujuh pekerjanya terpaksa mengikat tali pada badan untuk menyeberangi sungai dengan arus deras bagi menyelamatkan tujuh ahli keluarga tersebut.
“Keadaan memang bahaya kerana limpahan air sangat laju beserta batang pokok dan batu besar yang bila-bila boleh menghentam kami,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk Nasir Mad Rejab, 60, berkata, kejadian itu sangat menakutkan sehingga mengubah landskap kawasan peranginan berkenaan.
Menurutnya, ribuan batang pokok hutan sebesar satu pemeluk hanyut melalui sungai berhampiran rumah dalam kawasan chalet ini.
“Kita seperti tidak kenal lagi kawasan ini yang musnah macam tsunami akibat limpahan air dari Gunung Jerai,” katanya.-K! ONLINE