SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang membuka kaunter pandu lalu di pekarangan Ibu Pejabat JPJ di Seberang Jaya di sini bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu susulan tarikh penamatan moratorium semakin hampir.
Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, kaunter pandu lalu yang beroperasi sehingga 30 September itu bakal melicinkan urusan pelanggan yang ingin memperbaharui lesen memandu (LMM) dan lesen kenderaan motor (LKM) persendirian.
“Pelanggan hanya perlu menunggu dalam kenderaan masing-masing dan langkah ini dapat mengurangkan kontak fizikal sekali gus mengelakkan kesesakan semasa mendaftar masuk untuk berurusan di kaunter.
“Kaunter pandu lalu ini beroperasi dari Isnin sehingga Khamis bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari manakala bagi hari Jumaat, operasi bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen sambutan Hari Kebangsaan menerusi pemasangan bendera Jalur Gemilang di pekarangan pejabat termasuk pagar, bangunan dan kaunter urusniaga.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap orang ramai akan melunaskan bayaran saman JPJ tertunggak menerusi tawaran diskaun 70 peratus bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64.
“Setakat ini, hampir 100,000 saman aktif yang masih belum dijelaskan dan diharapkan orang ramai rebutlah peluang ini untuk melunaskan saman yang tertunggak.
“Walau bagaimanapun, pesalah lalu lintas yang telah disenaraihitam dikehendaki hadir semula ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929