KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya melakukan pemeriksaan biasa di kediaman pendakwah, Ebit Lew di Setia Alam semalam bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual membabitkan pendakwah itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pemeriksaan untuk mendapatkan bahan bukti merupakan antara prosedur yang perlu dilakukan pihak polis dalam melengkapkan kertas siasatan.
“Kita hanya melakukan pemeriksaan yang biasa dilakukan dan ia bertujuan untuk melengkapkan siasatan,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut sekiranya terdapat barangan yang dirampas ketika pemeriksaan di kediaman pendakwah terbabit dilakukan.
Kosmo! semalam melaporkan, polis melakukan pemeriksaan bagi mencari bahan bukti di rumah pendakwah terkenal, Ebit Lew di Setia Alam, dekat sini.
Ia susulan tiga buah kenderaan disyaki milik PDRM dilihat memasuki kawasan berkenaan kira-kira pukul 4.15 petang.
Selang beberapa minit kemudian, kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang mempunyai logo badan kebajikan pendakwah terbabit turut memasuki kawasan perumahan itu.
Siasatan terhadap Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ebit Lew dilakukan susulan laporan polis yang dibuat oleh beberapa individu yang mengaitkan pendakwah terkenal itu dengan dakwaan gangguan seksual. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929