PETALING JAYA – Meskipun semalam Perdana Menteri Caretaker, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran ‘dine in’ di seluruh negeri termasuk fasa satu, namun kebanyakan penerima vaksin AstraZeneca masih tidak dapat berbuat demikian.
Ini kerana kebanyakan penerima vaksin jenis itu masih lagi tidak melengkapkan dos kedua vaksinasi mereka kerana tempoh dos pertama dan kedua jaraknya adalah sembilan minggu berbanding penerima vaksin jenis Sinovac dan Pfizer kira-kira tiga minggu sahaja.
Itu belum termasuk tempoh keberkesanan vaksin kira-kira 14 hari daripada tempoh suntikan dos kedua.
Tinjauan Kosmo! di laman sosial mendapati rata-rata penerima vaksin jenis AstraZeneca meluahkan rasa ‘iri hati’ terhadap penerima vaksin Pfizer dan Sinovac yang kini sudah boleh ‘dine in’ di kedai.
“Pishang ler geng AZ nk tunggu complete dua dos. Dah lah lepas cucuk nak kena tunggu 14 hari pulak tu. Berganda-ganda pishang nya mat,” luah seorang penerima vaksin AstraZeneca dikenali sebagai Ihsan Husssin di laman sosial.
Senasib dengan Ihsan adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Kevin DiBirunya.
“Kita tenang-tenang jee, sape geng AstraZeneca angkat tangan, sabar-sabar bulan 10 tu tak lama,” luahnya.
Terdahulu, selain kebenaran ‘dine in’, Muhyiddin turut mengumumkan beberapa kebenaran baharu semalam antaranya ialah aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor) terpakai di dalam daerah sama sahaja.-K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929