GLASGOW – Penyerang Jepun, Kyogo Furuhashi terus mencipta impak tersendiri buat Celtic apabila meledak gol keenamnya dalam enam perlawanan bersama pasukan itu sejak berhijrah daripada Vissel Kobe pada Julai lalu.
Terbaharu, Furuhashi, 26, menjaringkan satu gol buat Celtic dalam kemenangan 2-0 ke atas wakil Belanda, AZ Alkmaar pada aksi pertama pusingan kelayakan Liga Europa di Celtic Park awal pagi semalam.
Ketua jurulatih Celtic, Ange Postecoglou menghambur pujian tinggi terhadap prestasi cemerlang Furuhashi yang cepat menyesuaikan diri bersama rakan-rakan sepasukan dan selesa mengadaptasi dengan suasana persekitaran baharu.
“Kyogo (Furuhashi) sentiasa menjadi ancaman kepada pasukan lawan sepanjang perlawanan ini. Dia tidak henti-henti mengasak bahu pemain-pemain pertahanan lawan.
“Selain itu, (Joe) Hart (penjaga gol Celtic) juga menunjukkan peningkatan. Dia berpengalaman dan kehadirannya memberikan keyakinan tinggi kepada pasukan,” kata Pontecoglou yang kini merakam lima kemenangan berturut-turut bersama Celtic.
Satu lagi gol Celtic ke atas Alkmaar awal pagi semalam diperoleh menerusi James Forrest.
“Kemenangan ini tidak akan membuatkan kami bermain secara bertahan untuk aksi timbal balik nanti (27 Ogos). Sebaliknya, kami akan terus mempamerkan corak permainan tersendiri kerana kami mahu menang,” jelas Pontecoglou.
Furuhashi yang menandatangani kontrak empat tahun dengan Celtic, mula mencipta nama dalam kalangan peminat pasukan itu selepas meledak hatrik pertamanya ketika membelasah Dundee United 6-0 dalam saingan Liga Scotland awal bulan ini. – AGENSI