fbpx

Fairuz Selamat jalani rawatan psikiatri, alami tekanan mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fairuz memberitahu dia mula mengalami tekanan perasaaan sejak bulan lalu.

PETALING JAYA – Penyanyi Fairuz Selamat mendedahkan bahawa dia kini terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri kerana berasa tertekan sejak bulan lalu sehingga memberi kesan terhadap kesihatan dirinya.

Ujar bekas vokalis kumpulan Q-Face itu, dia mula mengalami rasa tertekan dalam diri sejak awal bulan Julai lalu sehingga mengakibatkan dia mengalami sakit kepala yang teruk.

“Saya perasan rasa tertekan saya makin teruk sejak awal Julai lalu. Setiap hari kepala saya sakit. Hari-hari rasa darah panas dekat kepala. Selalu pening dan rasa lesu. Makin susah nak tidur malam dan rasa gelisah melampau (anxiety). Saya selalu fikir yang bukan-bukan,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagram.

Kongsi penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Tak Sehaluan itu lagi, kesan yang dialaminya itu menyebabkan dia mengalami masalah keguguran rambut yang teruk walaupun mengakui dia mengamalkan gaya pemakanan yang sihat.

“Bergumpal rambut saya gugur dalam masa satu hari sahaja. Semakin hari semakin banyak (rambut gugur). Ketika rambut saya masih panjang, lebih 100 helai rambut saya akan gugur. Lantai dan bilik air penuh dengan rambut.

“Saya jarang makan makanan segera. Paling kerap mungkin antara dua hingga tiga kali sebulan. Gula memang saya kawal. Saya tidak minum air manis. Jadi saya rasa pemakanan saya masih normal,” jelasnya.

Sehubungan itu, Fairuz mengandaikan bahawa dirinya mungkin mengalami tekanan yang teruk, namun dia tidak terlalu mengambil serius tentang perkara itu kerana merasakan terdapat individu lain yang mungkin mengalami ujian yang lebih berat ketika pandemik.

Merasakan tekanan yang dialaminya makin hebat sehingga merasai dirinya terabai dari dunia dan menjadi seorang yang pelupa, Fairuz akhirnya mengakui bahawa keadaan dirinya semakin serius.

Menerusi hantaran berbeza, penyanyi itu berkongsi sekeping kertas temujanji untuk dirujuk dengan bahagian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi mendapatkan rujukan dan rawatan bermula semalam.

Dalam hantaran tersebut, Fairuz mengucapkan terima kasih dan memohon doa kepada peminat untuk mendoakan kesejahteraannya.

“Mungkin saya khilaf (membuat salah) dalam banyak perkara dan Allah SWT mahu mengajar saya supaya menghargai apa yang saya ada.

“Saya sudah mendapatkan rawatan daripada doktor pakar. Terima kasih atas saranan semua,” tulisnya.

Dalam pada itu, Fairuz juga meminta cadangan daripada pengikutnya dalam Instagram jika tahu kaedah yang boleh dilakukan untuk merawat masalah mental yang dialaminya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI