KETIKA diaju soalan tentang kereta apa yang dimiliki, seorang pemuda berasal dari Uzbekistan menyatakan tanpa ragu-ragu, ia adalah Chevrolet.
“Saya tiada pilihan, anda tahukan?” jelas pemuda itu ketika ditanya kenapa dia memilih jenama berkenaan.
Seperti penduduk lain di negara yang terletak di Asia Tengah itu, dia tidak mempunyai banyak pilihan untuk memiliki kereta idaman.
Rakyat di negara berkenaan boleh memilih mana-mana model kereta asalkan ia berjenama Chevrolet.
Maka tidak hairanlah kebanyakan kereta yang meluncur di jalan raya negara itu dimonopoli oleh Chevrolet.
Uzbekistan merupakan sebuah negara bekas jajahan Kesatuan Soviet dan diisytiharkan merdeka pada 1991.
Setahun kemudian, sebuah kilang kereta terbesar dibina di wilayah Andijan, timur negara tersebut bernilai AS$600 juta (RM2.5 bilion).
Pembinaan kilang itu dibuat oleh kerajaan Uzbekistan dengan kerjasama syarikat dari Korea Selatan, Daewoo.
Pada 2008, syarikat Daewoo diambil alih oleh General Motors (GM) dari Amerika Syarikat dan kilang tersebut diganti namanya menjadi GM.Sejak itu, ia mula menghasilkan kereta berjenama Chevrolet.
Tiga tahun selepas itu menyaksikan 94 peratus kereta yang dijual di Uzbekistan adalah Chevrolet, sekali gus menjadikan pasaran kenderaan di negara itu dimonopoli oleh jenama berkenaan.
Kepentingan GM dilindungi oleh kerajaan Uzbekistan melalui dasar automotif menjurus ke arah monopoli.
Untuk rekod, Uzbekistan mungkin satu-satunya negara di dunia yang mana harga kenderaan terpakai lebih tinggi daripada kereta baharu.
Kerajaan negara itu melaksanakan dasar yang mana kereta terpakai yang dikeluarkan di luar Uzbekistan dikenakan tarif import yang tinggi.
Cukai yang dikenakan untuk kereta luar lebih dua kali ganda daripada harga kereta itu sendiri.
Ini menyebabkan rakyat negara itu agak sukar untuk menggunakan kereta selain jenama Chevrolet.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pemuda di Tashkent, ibu negara Uzbekistan yang mencari nafkah dengan memandu kereta peribadinya dijadikan teksi mengatakan, dia pernah cuba membeli kereta Mercedes terpakai di Dubai bagi menggantikan Chevrolet Nexia lamanya.
“Saya menelefon keluarga dan rakan-rakan dan mereka menolak hasrat saya itu.
“Ini kerana, harga Mercedes terpakai menelan kos yang hampir sama dengan sebuah limosin baharu di Uzbekistan,” terangnya.
Dalam pada itu, seorang pakar ekonomi Uzbekistan, Yuliy Yusupov yang terkenal dengan perjuangan menentang monopoli menjelaskan, pelaksanaan dasar tersebut hanya menguntungkan sebahagian pihak.
“Sekumpulan kecil birokrat dalam kerajaan dan pengurus syarikat mendapat keuntungan berbilion dolar setiap tahun daripada dasar tersebut.
“Orang ramai tidak mempunyai pilihan selain perlu membayar harga yang lebih untuk mendapatkan kereta,” jelasnya.
Tambahnya, tanpa persaingan daripada jenama kenderaan lain di pasaran menyebabkan harga kereta Chevrolet turut meningkat.
Antara tahun 2012 sehingga 2013 harga untuk model Chevrolet Nexia meningkat lebih 24 peratus.
Pada ketika itu, media tempatan melaporkan, Chevrolet Nexia berharga hampir AS$17,000 dan ia sukar dijual kepada penduduk yang rata-rata memiliki purata gaji sekitar AS$200 sebulan.
Pada 2014, harga model berkenaan yang dieksport jauh lebih murah berbanding dijual di negara itu.
Harga kereta tersebut di Uzbekistan pada tahun itu adalah AS$14,000 (RM59,000), namun setelah dieksport ke Belarus, harganya cuma AS$8,000 (RM33,000).
Bagaimanapun, rakyat Uzbekistan tetap membelinya kerana Chevrolet satu-satunya pilihan yang mereka ada.
Pada 2012, lebih 225,000 kereta Chevrolet dihasilkan di Uzbekistan, tetapi hanya separuh sahaja dijual kepada penduduk negara itu yang berjumlah 30 juta orang.
Dalam pada itu, ramai pelanggan yang menempah Chevrolet mengeluh kerana terpaksa menunggu lama sebelum mendapatkan kenderaan itu.
Namun, terdapat dakwaan sekiranya mahu memperoleh kereta dalam tempoh singkat, mereka perlu membayar rasuah dikenali sebagai shapka di negara berkenaan.
“Saya pernah menempah sebuah Chevrolet Cobalt pada harga AS$20,000 (RM84,000). Saya terpaksa membayar lebih AS$2,000 (RM8,400) secara tunai kepada penjual untuk mendapatkan kereta dengan lebih cepat,” dakwa Jakhongir yang merupakan seorang peniaga di Tashkent.
Pada 2016, presiden baharu, Shavkat Mirziyoyev mengambil alih kuasa pemerintahan di negara itu selepas kematian pemerintah sebelumnya, Islam Karimov.
Beliau telah memulakan proses liberalisasi besar-besaran digelar The Uzbek Thaw.
Dua tahun kemudian, GM telah menjual sahamnya di kilang tempatan kepada kerajaan negara itu.
Kilang itu masih menggunakan jenama dan teknologi Chevrolet melalui perjanjian khas.
Antara perubahan yang dibawa Shavkat biarpun agak lambat adalah menghapuskan cukai eksais ke atas kenderaan import dan kenderaan perdagangan serta pertanian pada Ogos tahun lalu.
Ini memberikan sinar baharu dan membuka ruang kepada rakyat Uzbekistan yang selama ini hanya mampu memiliki Chevrolet untuk membeli kenderaan jenama lain.
Perubahan dasar yang dilakukan kerajaan Uzbekistan itu adalah untuk menyelaras aktiviti ekonomi asing dan mengembangkan pasaran kereta domestik dengan mendorong persaingan.
Mengimbas sejarah lalu, ketika era pemerintahan Islam Karimov, Uzbekistan merupakan sebuah negara tertutup dan tidak banyak syarikat asing yang berjaya melabur di negara itu.
Namun, kerjasama dengan GM telah menyebabkan banyak teknologi dan modal asing dibawa masuk ke negara itu.
Ketika memerintah, beliau telah banyak berusaha untuk membangunkan industri berteknologi tinggi.
Ia bagi mengurangkan pergantungan eksport kapas, emas dan bahan mentah lain yang menjadi sumber pengeluaran Uzbekistan pada era Soviet.
“Model pembangunan ekonomi kerajaan Uzbekistan pada dasarnya merupakan pengganti import.
“Uzbekistan kekurangan modal dan teknologi baru.
“Kerjasama dengan GM adalah contoh terbaik bagaimana mereka dapat mencapai matlamat itu dengan lebih cepat,” jelas Lilit Gevorgyan yang merupakan penganalisis di IHS Global Insight.