BANGKOK – Kajian baharu oleh dari Jabatan Sains Perubatan (DMS) Thailand menunjukkan gabungan dua dos suntikan Sinovac diikuti AstraZeneca memberikan tahap imuniti lebih tinggi berbanding dua dos vaksin jenama sama, lapor akhbar The Nation Thailand semalam.
Menurut Ketua DMS, Dr. Supakit Sirilak, kajian itu menguji tahap imuniti badan 125 sukarelawan petugas kesihatan berusia 18 hingga 60 tahun yang telah menerima dos Sinovac kemudian AstraZeneca.
Tahap imuniti mereka kemudian dibandingkan dengan mereka yang menerima kombinasi sama dua vaksin tersebut berdasarkan skala ukuran unit arbitrari (AU).
Dua dos Sinovac meningkatkan imuniti hingga sekitar 117 AU, sementara dua dos AstraZeneca meningkatkannya menjadi 207 AU.
Apabila dua vaksin itu digabung, koktel Sinovac dan AstraZeneca mencetuskan tahap imuniti sekitar 716 AU.
Sementara itu, dua suntikan Sinovac diikuti oleh dos penggalak AstraZeneca menjadikan imuniti penerima meningkat kepada 1700 AU.
Data kajian itu adalah hasil ujian dari wilayah Bangkok di mana para sukarelawan bekerja di Hospital Siriraj.
“DMS akan menjalankan satu lagi kajian bagi menilai keberkesanan dan tahap peningkatan dos penggalak dari Pfizer dalam masa sebulan lagi,” kata Supakit.
Kajian ini juga dijalankan khusus bagi mengenal pasti keberkesanan campuran vaksin terhadap varian Delta yang menyumbang lebih daripada 90 peratus kes baharu di Thailand.
Dengan menggunakan Ujian Peneutralan Pengurangan Plak, penyelidik mendapati bahawa dua dos Sinovac mencapai skor 24, yang melebihi standard iaitu 10 dan dianggap terbukti untuk menghilangkan virus secara in-vitro.
Supakit turut mengatakan bahawa kesan sampingan daripada suntikan dos penggalak AstraZeneca sepadan dengan kesan sampingan dua dos vaksin tersebut iaitu demam biasa, sakit kepala dan keletihan. – Agensi