PETALING JAYA – Beberapa lokaliti di Sabah dan Pahang akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 22 Ogos hingga 4 September depan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan Covid-19, PKPD akan dilaksanakan di lokaliti-lokaliti terlibat.
“Di negeri Sabah melibatkan sembilan lokaliti iaitu empat lokaliti di Kota Belud di Kampung Kulambai, Kampung Kulambai Kupang dan Kampung Kulambai Dundau, Kampung Labuan, Kampung Ambong Tolus dan Kampung Tuguson; dua di Lahad Datu di Perumahan Ladang Cantawan Silabukan dan Perumahan Lestari Felda Sahabat 48.
“Selain itu, dua lokaliti di Tawau melibatkan Taman Milenium serta Taman Kinabutan Ria; dan di Kampung Tangkuyan, Tongod,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, di negeri Pahang tiga lokaliti dikenakan PKPD antaranya dua lokaltiti di Mukim Sungai Karang, Kuantan, iaitu di Taman Balok Makmur serta Kampung Seberang Sungai Ular; dan di Flat Damai Taha, Temerloh.
Dalam perkembangan lain, beberapa kawasan di Sabah akan dilanjutkan tempoh PKPD.
“Antaranya di Bandar Sinsuran, Kota Kinabalu; dua lokaliti di Kota Kinabalu iaitu di Universiti Condominium Apartment Fasa 2 dan Rumah Murah Kepayan.
“Kesemua kawasan tersebut akan dilanjutkan tempoh PKPD yang sepatutnya ditamatkan esok, bermula 22 Ogos hingga 4 September depan,” katanya. – K! ONLINE