PETALING JAYA – Menerima pelbagai reaksi kurang netizen akibat perkongsian video masakan dalam Instagram tanpa mengenakan tudung, pengacara Nana Mahazan tampil membuat penjelasan.
Menurut Nana, perkongsian video masakan berkenaan merupakan satu daripada komitmen kerjanya yang telah dipersetujui sebelum dia mengenakan tudung.
Pengacara dan bekas penyampai radio itu menjelaskan, selepas ini akan ada beberapa lagi perkongsian promosi produk yang menggunakan gambar atau video lamanya.
“Akan ada lagi video dan gambar lama yang akan diguna pakai kerana sudah awal-awal diambil dan dirakam. Harap faham.
“Kadang-kadang kita bekerja dan berurusan dengan pelanggan. Jadi, tarik nafas semua. Relaks. Allah Maha Tahu.
“Ujian kadang-kadang kita rasa untuk orang, sebenarnya adalah ujian untuk kita. Fikir-fikirkanlah. Selamat beramal,” katanya menerusi Insta Story.
Di ruangan komen ada dikalangan pengikut tertanya-tanya mengenai penampilan tersebut, namun sesetengah netizen peka dengan tanggungjawabnya mematuhi kontrak terhadap kempen yang sudah dipersetujui dari awal.
Tidak kurang memberi saranan supaya dia menulis perkataan ‘#throwback’ atau tarikh rakaman bagi mengelakkan salah faham.
Lima hari lalu Nana atau pemilik nama penuh Nurul Hana Che Mahazan, 38, muncul kali pertama berhijab dalam sesi siaran langsung menerusi Instagramnya dalam keadaan sebak.
Menerusi perkongsian kira-kira setengah jam, ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengakui masih belum sempurna dan sedang memperbaiki diri.
Penghijrahan ibu kepada dia cahaya mata itu mengundang maklum balas positif pengikut yang turut memuji penampilan terbaharunya.
Sementara itu, berkenaan video yang dirakam sebelum berhijrah, Nana dilihat tenang dan menerima respon ramai dengan hati terbuka.
“Tak mengapa. Mereka tak perlu faham. Cukup kita dan Dia. Insya-Allah, semoga kita dipandang-Nya. Allah Maha Pengampun,” tulisnya lagi.