KOTA BHARU – Tujuh orang remaja lelaki direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun secara beramai-ramai awal tahun ini.
Perintah reman sehingga Isnin depan terhadap kesemua suspek yang berusia 15 hingga 18 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Nor Faezah Abdullah di Mahkamah Majistret hari ini.
Ketujuh-tujuh suspek itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan.
Difahamkan, kesemua suspek telah melakukan kesalahan tersebut beberapa kali terhadap remaja perempuan itu sebelum mangsa tampil membuat laporan polis baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris ketika dihubungi mengesahkan polis telah menahan kesemua suspek semalam.
Katanya, tujuh remaja itu ditahan di beberapa lokasi di sekitar Kota Bharu dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929