ALOR SETAR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan tiada penemuan kawasan tanah lapang atau terbuka di kawasan Gunung Jerai berdasarkan hasil tinjauan yang dilakukan menerusi udara hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, hasil tinjauan dari udara mendapati beberapa aliran air terjun dari puncak gunung yang dipercayai menjadi punca kepada fenomena kepala air tersebut pada petang semalam.
“Apa yang kita nampak hanyalah tiga saliran air yang jelas dan empat lagi terlindung di balik pokok-pokok hutan. Saliran itu ada yang besar, sederhana dan kecil saiznya.
“Aliran itu mungkin berpecah di atas tetapi bercantum pada titik tertentu di bahagian bawah hingga menyebabkan arus menjadi terlalu deras apabila ia sampai ke pusat-pusat peranginan terlibat dan kampung penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hutan Lipur Titi Hayun yang merupakan salah satu lokasi dalam kejadian kepala air di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat dakwaan di media sosial mengatakan fenomena tersebut berpunca daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal.
Abdul Wahab menambah, fenomena kepala air itu tidak mustahil boleh berulang sekiranya jumlah hujan berterusan dalam kuantiti yang banyak. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929