TANAH MERAH – Lebih 10 peniaga di zon bebas cukai Bukit Bunga yang terlibat dalam kebakaran di sini kelmarin memohon bantuan segera agar mereka dapat kembali berniaga selepas mengalami kerugian besar dalam kejadian itu.
Kebanyakan peniaga di kawasan itu sudah menjalankan perniagaan di lokasi tumpuan orang ramai terutamanya musim perayaan dan cuti persekolahan itu sejak lebih 14 tahun lalu.
Seorang peniaga pakaian, Humaira Mohamed, 42, berkata, keseluruhan premis yang disewanya dan barangan perniagaan terbakar sehingga dia mengalami kerugian kira-kira RM500,000.
Katanya, dia berharap ada pihak yang dapat membantu peniaga-peniaga di situ kerana mereka hanya bergantung kepada perniagaan itu untuk menampung perbelanjaan keluarga.
“Hanya tuhan yang tahu perasaan saya ketika ini, namun saya tetap tabahkan hati dan berharap ada pihak membantu kami,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran di sini hari ini.
Seorang lagi peniaga, Wan Zuraidah Wan Abidin, 35, berkata, dia menanggung kerugian lebih RM70,000 dan buntu untuk mencari semula modal bagi memulakan perniagaan memandangkan pendapatannya sudah terkesan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan penuh ketika ini.
“Harapan saya agar bantuan disegerakan dan kami dapat membaiki kedai yang musnah sekali gus dapat memulakan perniagaan secepat mungkin,” katanya.
Prihatin dengan nasib peniaga di kawasan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Datuk Mohd. Adhan Kechik menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 kepada mereka.
Katanya, kerajaan negeri dan beberapa agensi lain akan memberi bantuan selanjutnya kepada peniaga yang terjejas dalam kejadian itu. – K! ONLINE