WASHINGTON – Penggodam-penggodam mencuri maklumat peribadi termasuk nombor keselamatan sosial dan data lesen memandu milik lebih 47 juta pelanggan syarikat pembekal perkhidmatan telefon Amerika Syarikat (AS), T-Mobile, kata firma tersebut.
Serangan siber itu menyebabkan maklumat kira-kira 7.8 juta pelanggan dan 40 juta bekas dan bakal pelanggan T-Mobile terjejas, katanya pada Selasa lalu.
Syarikat telekomunikasi yang mempunyai lebih 102 juta pelanggan di seluruh AS itu memberitahu, ia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan telah mengupah pakar-pakar keselamatan siber bagi membantu menyiasat penggodaman tersebut.
“Kami mengambil serius perlindungan data pelanggan dan kami akan bekerja sepanjang masa dalam melakukan siasatan forensik untuk memastikan data pelanggan kami dilindungi,” kata T-Mobile dalam satu kenyataan.
T-Mobile memulakan siasatan mengenai kemungkinan sistem komputernya diceroboh pada minggu lalu susulan dakwaan mengenainya dalam sebuah forum online. Syarikat itu kemudian mengenal pasti dan menutup ‘akses’ yang digunakan oleh penggodam terbabit.
Walaupun siasatan masih dijalankan, T-Mobile berkata, penggodam tidak dapat mengakses maklumat kewangan pelanggan seperti data kad kredit dan debit.
Bagaimanapun, di samping nombor keselamatan sosial dan maklumat lesen memandu, penggodam turut mencuri nama penuh dan tarikh lahir pelanggan.
“Kurang satu juta nombor telefon dan nombor PIN akaun pelanggan terdedah semasa serangan siber itu,” tambah T-Mobile.
T-Mobile merancang untuk memaklumkan kepada berpuluh-puluh juta pelanggan yang terjejas akibat serangan siber itu dalam masa beberapa hari lagi. – Agensi