KUALA LUMPUR – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Mesyuarat Exco Pulau Pinang dimaklumkan bahawa projek terowong dasar laut di negeri itu akan diberikan kepada sebuah syarikat mega dari China melalui tender terbuka.
Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata, dua perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Beijing Urban Construction Group (BUCG) pada 2011 sebaliknya tidak menyatakan projek itu akan dilaksanakan melalui tender terbuka.
Ujar saksi pendakwaan ketiga itu, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebaliknya berkali-kali memaklumkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri bahawa projek mega itu ditawarkan secara tender terbuka.
Menurut saksi pendakwaan ketiga itu, daripada 60 syarikat yang menyatakan minat untuk terlibat dalam projek berkenaan, lapan disenaraikan layak melaksanakan projek itu.
Ujar saksi itu, dalam salah satu mesyuarat yang dihadirinya, beliau memaklumkan walaupun BUCG sebuah syarikat terkenal dan banyak mengendalikan projek mega di China, belum tentu ia akan dipilih melaksanakan projek tersebut.
Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ldin, Hock Seng menyatakan, tiga mesyuarat yang dihadirinya membayangkan tidak semestinya BUCG dilantik sebagai kontraktor projek berkenaan.
Ujarnya, delegasi Pulau Pinang telah menyertai rombongan lawatan ke Beijing selepas menerima jemputan rasmi untuk melihat projek mega yang dilaksanakan oleh BUCG.
Menurutnya, lawatan itu dibiayai sendiri oleh kerajaan negeri bagi mengelakkan salah faham kerana tidak semestinya syarikat asing itu akan mendapat projek berkenaan.
Beliau berkata, bagaimanapun selepas MoU dimeterai, projek itu akhirnya diberikan kepada Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG).
Saksi berkata, beliau kemudian bertemu dengan Pengarah CZBUCG, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli (ketika itu) dan memaklumkan pertemuannya kepada MMK negeri.
Ujarnya, MMK negeri yang dipengerusikan oleh Guan Eng kemudian mengarahkan satu kertas kerja cadangan projek terowong dasar laut dan jalan-jalan utama di negeri itu dikemukakan untuk pertimbangan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929