Tidak pernah rasa begitu cuak tatkala melangkah masuk ke sebuah pusat beli-belah popular di tengah bandar raya baru-baru ini, kebetulan untuk membeli makanan sementara menunggu seorang ahli keluarga mendapatkan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin berdekatan.
Suasananya yang kelam, lesu dan sunyi tanpa keriuhan pengunjung yang bertali arus seperti sebelum ini membuatkan penulis bagaikan berada dalam sebuah premis yang sangat asing seperti baru diserang ‘zombie’ yang sering ditonton di kaca televisyen.
Penyeri premis tersebut hanyalah kelibat beberapa penghantar makanan yang sedang menunggu tempahan.
Begitu janggal berada di dalam pusat beli-belah terkenal itu sedangkan sebelum ini, ia adalah pusat tumpuan awam yang menjadi saksi kepada pelbagai kisah masyarakat selama 365 hari, setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Banyak kenangan warga kota di pusat beli-belah seperti di Sogo, Pavilion, AEON, Lot 10, Sunway Pyramid, Bukit Bintang, KLCC dan banyak lagi nama premis yang popular bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan tetapi juga pelancong asing.
Pusat beli-belah ini juga banyak jasanya kerana ia menjadi medan yang menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan beroperasi di situ sama ada melalui outlet yang besar, sederhana, dalam bentuk kios atau berniaga di medan selera.
Lebih penting, di situ juga menjadi pusat utama yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada masyarakat bukan sahaja daripada pencuci tandas, penyelenggara lif tetapi juga meliputi semua bidang daripada jurujual sehingga pihak pengurusan kanan.
Namun, pandemik Covid-19 telah melumpuhkan hampir keseluruhan ekosistem perniagaan di pusat beli-belah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac 2020 dan berterusan hingga penguatkuasaan total lockdown Jun lalu.
Menurut Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia, melalui sebuah kaji selidik yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan bahawa kira-kira 10 peratus penyewa dalam sesebuah pusat beli-belah telah menutup outlet pada tahun 2020 dan ia bakal meningkat kepada 30 peratus menjelang akhir tahun ini.
Persatuan itu juga melaporkan bahawa pusat beli-belah juga mencatat penurunan ketara dalam jumlah pengunjung iaitu antara 60 hingga 90 peratus sekali gus telah menjejaskan aliran wang tunai syarikat d‘Mall’ sunyi bagai diserang zombieAda an ramai pekerja telah dan akan di berhentikan.
Strategi pantas dan yang terbaik perlu dilaksanakan bagi memulihkan semula sektor tersebut.
Program vaksinasi yang berjalan lancar kini menjadi antara faktor sokongan bagi kerajaan untuk menggerakkan aktiviti, jadi seharusnya inisiatif berkesan perlu dilaksanakan untuk membuka kembali semua sektor ekonomi.
Berilah keistimewaan kepada mereka yang mendapat vaksin lengkap untuk kembali berniaga walau dalam apa juga sektornya dan kembali bekerja di pusat beli-belah selain pengunjung juga bebas bergerak sambil menjamu selera untuk menceriakan semula premis yang suram itu. – K! ONLINE