PETALING JAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengajak golongan muda untuk menceburi dan merancakkan sektor pertanian negara dengan mensasarkan seramai 750 orang agropreneur muda dengan peruntukan berjumlah RM15 juta tahun ini.
MAFI dalam satu kenyataan berkata, sejumlah RM131.8 juta peruntukan telah memberi manfaat kepada 7,406 usahawan Agropreneur Muda sejak ianya dilancarkan pada tahun 2016.
Katanya, Geran Agropreneur Muda menjadi satu pilihan penting bagi membantu anak-anak muda memulakan projek pertanian.
“Pada tahun ini, sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan dengan sasaran 750 orang agropreneur muda untuk mendapat bantuan.
“Kementerian menjangkakan kesan penggandaan bernilai RM89.4 juta melalui bantuan geran yang diberikan pada hari ini,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, tahun lalu, seramai 1,149 golongan muda menerima bantuan geran bernilai RM21.7 juta berbanding 750 orang pada tahun 2019 dan 785 orang pada tahun 2018.
“Data terkini menunjukkan bahawa daripada 14.6 juta belia di Malaysia, hanya 15 peratus yang terlibat dalam bidang pertanian. Tambahan pula, kajian menunjukkan hanya 4 peratus pelajar di universiti yang akan mempertimbangkan kerjaya dalam bidang pertanian.
“Kesemua data ini menunjukkan bahawa persepsi para belia kepada sektor pertanian perlu diperbaiki lagi. Berdasarkan faktor tersebut pihak Kementerian perlu mengambil langkah sewajarnya bagi meremajakan sektor pertanian.” ujarnya.
Katanya, bagi merealisasikan perkara tersebut pihak MAFI akan melancarkan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dalam masa terdekat. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929