JOHOR BAHRU – Tindakan pengimport membawa masuk alat ganti kenderaan bernilai lebih RM1.3 juta termasuk cukai dengan membuat pengikraran yang tidak benar dan mengelirukan berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, kejayaan itu direkodkan pihaknya menerusi tiga serbuan berasingan di Johor Bahru dan Machap pada 8 Julai lalu antara pukul 5.30 petang hingga 7.10 malam.
Katanya, ketiga-tiga pemandu lori treler tersebut yang merupakan lelaki tempatan berusia 33 hingga 61 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.
“Serbuan pertama dijalankan terhadap sebuah lori treler 40 kaki yang mencurigakan di Kilometer 75.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) Arah Utara.
“Hasil pemeriksaan mendapati 8,194 alat ganti kenderaan yang diimport dari negara jiran dengan nilai anggaran RM569,865 termasuk cukai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, serbuan kedua dijalankan pihaknya terhadap sebuah lori treler di Taman Ekoperniagaan di sini sebelum menemui 2,898 unit alat ganti kenderaan yang diimport.
“Selain alat ganti kenderaan, pegawai penguatkuasa juga mendapati 4,530 bungkus makanan dan 1282 unit peralatan komputer peribadi terpakai yang dipercayai tidak mempunyai permit import yang sah dengan nilai keseluruhan RM605,956 termasuk cukai.
“Manakala serbuan ketiga dijalankan terhadap sebuah lori treler di Danga Bay, Johor Bahru yang menemui 650 unit alat ganti kenderaan dengan nilai keseluruhan RM175,469 termasuk cukai,” ujarnya.
Tambah Sazali, modus operandi ketiga-tiga kes ini adalah dengan membuat pengikraran tidak benar dan mengelirukan di dalam borang Kastam 1 (K1) dengan tujuan mengelak dari dikenakan cukai tinggi dan mengelak daripada permit import.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929