fbpx

Johor, Selangor rekod pergerakan masuk, keluar migran tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Johor dan Selangor merekodkan angka tertinggi dari segi pergerakan masuk dan keluar migran dalaman pada tahun lalu, demikian laporan Survei Migrasi 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah migran dalaman masuk ke Johor adalah seramai 100,500 orang manakala Selangor mencatatkan pergerakan keluar migran dalaman tertinggi iaitu seramai 89,200 orang.

Beliau berkata, sebahagian besar migran masuk ke Johor berasal dari Pahang (6,100 orang) dan Sarawak (3,800 orang) manakala majoriti migran yang keluar dari Selangor berhijrah ke Perak (4,000 orang) diikuti Putrajaya (3,300 orang) dan Kelantan (3,000 orang).

“Tahun lalu, Selangor terus mencatatkan migrasi masuk tertinggi iaitu 29,900 orang, namun begitu bilangannya semakin berkurang berbanding 2018 (34,600 orang),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Selangor dan Johor adalah dua negeri yang paling banyak menerima migran dari negeri lain.

Katanya, di Selangor, persekitaran dan kemudahan asas yang semakin baik di sekitar kawasan metropolitan menjadi antara penyumbang kepada peningkatan migrasi ke negeri itu.

“Pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur berkualiti termasuk ekosistem perniagaan yang baik menyebabkan penduduk bergerak ke luar pusat bandar untuk mencari persekitaran kediaman yang lebih selesa di Selangor.

“Bagi Johor pula, Pengerang menjadi sebuah bandar bestari dan lestari di bawah inisiatif Pengerang Pintar, Inisiatif Hijau dan Bandar Karbon Rendah menjadi salah satu tarikan migrasi masuk ke Johor,” katanya.

Sementara itu, katanya Kuala Lumpur terus merekodkan negeri tertinggi migrasi keluar iaitu 22,200 orang pada tahun lalu berbanding 25,000 pada 2018.

“Faktor penyumbang kepada penghijrahan keluar penduduk dari Kuala Lumpur ke negeri terdekat adalah perumahan yang lebih selesa dan kos sara hidup yang lebih rendah,” ujarnya.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI