fbpx

Harapan saya sembuh masih ada – Fazli Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fazli yakin dia masih ada harapan untuk kembali sihat seperti sedia kala.

PETALING JAYA – Selepas hampir tiga minggu dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti Covid-19, penyanyi Fazli Zainal dimaklumkan 75 peratus paru-parunya kini telah rosak.

Fazli ketika dihubungi Kosmo! berkata, dia menerima khabar duka tersebut dengan reda, namun tidak akan sesekali berputus asa untuk melawannya.

“Pagi tadi doktor memberitahu paru-paru saya telah rosak sebanyak 75 peratus. Mulanya agak terkejut, tapi saya terima dengan hati terbuka.

“Pada masa sama, saya sendiri dapat rasakan keadaan saya ketika ini semakin bertambah baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Ditanya mengenai adakah dia masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan, pelantun lagu Harapan itu memberitahu, dia masih bergantung dengan bantuan oksigen, tetapi pada paras rendah.

“Kalau sebelum ini, saya memerlukan 30 liter paras oksigen setiap hari, tapi kini hanya sekitar tiga liter sahaja.

“Saya juga pernah cuba ke tandas tanpa bantuan oksigen, tetapi dalam tempoh satu minit paras oksigen dalam badannya turun mendadak dari 93 peratus hingga 55 peratus,” ujarnya.

Tambah Fazli atau nama lengkapnya Fazdli Zainal, 43, walaupun sebahagian besar paru-parunya disahkan rosak, namun doktor memberitahu dia masih ada peluang untuk sembuh sepenuhnya jika terus mendapatkan rawatan rapi.

“Sebagai penguat semangat untuk terus bertahan, saya setiap pagi akan lakukan solat Tahajud dan memohon kepada Allah agar terus kuat,” katanya yang masih belum menerima sebarang vaksin.

Terdahulu, Fazli terpaksa dikejarkan ke hospital untuk menerima alat bantuan pernafasan selepas bacaan oksigen dalam badannya berada pada tahap tidak normal iaitu 75 peratus disebabkan positif Covid-19 pada 31 Julai lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI