fbpx

Era baharu pemerintahan Taliban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid ketika berucap pada sidang akhbar pertama di Kabul selepas pengambilalihan kumpulan itu ke atas pentadbiran Afghanistan, kelmarin. - AFP

KABUL – Pengasas bersama dan pemimpin politik kumpulan Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar berjanji akan menjalin hubungan baik dengan negara luar dan menghormati hak-hak wanita di Afghanistan, lapor akhbar Arab News, kelmarin.

Mullah, yang digembar-gemburkan bakal menjadi Presiden Afghanistan yang seterusnya telah kembali ke Kandahar, pusat pemerintahan Taliban dan ibu kota negara itu ketika Taliban berkuasa pada 1996 hingga 2001.

Beliau mengetuai delegasi Taliban dalam rundingan di Doha, Qatar dan menandatangani perjanjian damai dengan Amerika Syarikat (AS) pada Februari lalu.

Selepas menguasai Kabul, Taliban mengadakan sidang akhbar di ibu negara di mana mereka berusaha meredakan ketakutan rakyat yang khuatir zaman pemerintahan kejam kumpulan itu akan kembali sama seperti sebelum ini.

“Kami tidak mahu ada musuh dalaman atau luaran. Wanita boleh bekerja, belajar dan akan dibenarkan bergiat aktif dalam masyarakat tetapi perlu mengikut syariat Islam,” kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid dalam sidang akhbar pertama kumpulan itu, kelmarin.

Menurut Zabihullah, Taliban juga tidak akan menjatuhkan sebarang hukuman terhadap bekas tentera dan anggota pemerintah yang disokong Barat.

Pihaknya juga bersedia memberikan pengampunan buat bekas tentera pemerintah Afghanistan, kontraktor dan penterjemah yang bekerja untuk pasukan antarabangsa.

“Tidak ada yang akan menyakiti anda, tidak ada yang akan mengetuk pintu rumah dan mengheret anda ke jalanan.

“Terdapat perbezaan sangat besar antara pentadbiran Taliban sekarang berbanding 20 tahun lalu,” katanya.

Tambah Zabihullah, petugas media swasta juga tidak akan dihalang untuk terus berada di Afghanistan dan bebas membuat liputan seperti biasa sambil menegaskan bahawa Taliban komited menjalin kerjasama dengan sektor itu dalam kerangka budaya baharu mereka.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru penduduk Afghanistan yang memenuhi lapangan terbang Kabul untuk pulang ke rumah masing-masing dengan jaminan tiada sebarang bahaya yang akan menimpa mereka.

Sementara itu, mengulas mengenai aku janji pihak Taliban, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric berpendapat dunia perlu memberi peluang kepada Taliban untuk membuktikannya.

“Saya fikir, kita perlu memberi ruang bagi melihat adakah janji itu akan ditepati dan apakah situasi sebenar yang sedang berlaku di negara itu,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI