KOTA BELUD – Dua lelaki maut selepas lori dinaiki terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kota Belud-Tuaran berhampiran Bukit Kelawat hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, mangsa maut dikenali sebagai Lee Chee Fui, 51, dan Jonathan Lee Jun Liong, 17, manakala seorang lagi kelindan lori yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, siasatan awal mendapati semua mangsa bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kota Marudu.
“Bagaimanapun, kenderaan membawa barangan runcit yang dipandu salah seorang mangsa dipercayai hilang kawalan dan terus merempuh belakang sebuah pacuan empat roda setibanya di lokasi kejadian.
“Ekoran kejadian itu, lori dipandu mangsa terlanggar tembok konkrit pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan. Dua kenderaan lagi iaitu pacuan empat roda dan sebuah lagi kereta jenis Proton Wira turut terbabas namun hanya membabitkan kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sahimi berkata, pemandu dan penumpang dua lagi kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan manakala seorang lagi kelindan yang parah dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, beliau menyatakan semua pemandu terbabit dalam kemalangan ini tidak disyaki mabuk namun sampel darah akan diambil bagi tujuan toksikologi sementara siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929