fbpx

Wanita cedera selepas cuba periksa telefon bimbit suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

AMPANG JAYA – Tindakan seorang lelaki mendatangkan kecederaan ke atas isterinya dalam satu pertengkaran di kediaman mereka Taman Kosas di sini Jumaat lalu akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh mangsa yang mengalami kecederaan lebam pada lengan kiri dan kanan serta pada lutut kiri akibat terjatuh.

“Menurut mangsa, pertengkaran terjadi ketika mereka sedang membincangkan tentang hal perbelanjaan rumah selepas suaminya pulang ke rumah kira-kira pukul 4 pagi 13 Ogos lalu.

“Wanita berkenaan yang berusia 19 tahun merupakan suri rumah dan apabila suaminya,21 tahun yang bekerja sebagai penghantar kurier pulang ke rumah lewat, dia cuba untuk mengambil telefon bimbit lelaki itu untuk diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, suami mangsa bagaimanapun tidak mengizinkan telefon bimbitnya diperiksa lalu berlaku pertengkaran dan pergelutan di antara mereka.

“Susulan pergelutan itu si isteri telah mengalami bengkak pada beberapa bahagian badan dan pertengkaran itu telah dileraikan oleh ibu wanita berkenaan yang tinggal berhadapan rumah pasangan terbabit.

“Wanita berkenaan telah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur dan kira-kira pukul 9.30 malam semalam tangkapan telah dibuat ke atas lelaki berkenaan dan dia kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

Tambah beliau, semakan mendapati bapa kepada seorang anak lelaki berusia lima bulan itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan pemeriksaan air kencing mendapati dia negatif dadah.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang boleh dipenjara sampai satu tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” tegas beliau. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI