fbpx

Tiada blok parti miliki majoriti mantap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Penentuan siapa akan menjadi Perdana Menteri dijangka menjadi sukar kerana tiada satupun gabungan parti politik yang diwakili ahli Dewan Rakyat mempunyai majoriti yang mantap.

Penganalisis perundangan dan politik, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek berkata, terdapat dua blok parti utama iaitu Pakatan Harapan ditunjangi PKR, DAP, Amanah, selain mendapat sokongan Warisan dan satu lagi gabungan Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai parti komponen BN, sebahagian Bersatu, Pas dan Gabungan Parti Sarawak.

“Tawar-menawar akan terus berjalan dengan janji-janji sedang ditabur sekarang ini untuk mendapatkan sokongan. Ia bukanlah situasi yang sihat tetapi inilah hakikat politik.

“Apabila negara ditadbir oleh kerajaan yang tidak memiliki majoriti yang kukuh, bila-bila sahaja Ahli Parlimen boleh melompat parti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau yang juga Ahli Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara berkata, calon Perdana Menteri tidak kira dari parti mana mestilah seseorang yang boleh diterima semua Ahli Dewan Rakyat, tidak mempunyai banyak musuh dan tiada libaliti seperti tidak pernah disabitkan kesalahan di mahkamah.

Menurut Abdul Halim, seseorang calon itu mestilah bersih dan mampu menjadi individu yang boleh mengamankan keadaan kemelut politik sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-15 yang dijangka akan berlaku pada tahun depan.

“Jika ingin disebut nama misalnya Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim memang berkaliber. Tetapi beliau pernah masuk penjara dan didapati bersalah oleh mahkamah.

“Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pula mungkin akan diterima walaupun dari UMNO kerana beliau nampaknya macam bersih. Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal Shafie Apdal juga antara yang disebut sebagai calon.

Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak boleh melantik Perdana Menteri yang tidak mendapat majoriti di Dewan Rakyat sejajar Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan baginda hendaklah melantik seorang yang mendapat kepercayaan majoriti sebagai Perdana Menteri.

Katanya, jika Perdana Menteri tidak terbukti mendapat sokongan majoriti, keabsahan kedudukannya akan terus dicabar sekali gus mengganggu kestabilan pemerintahan seperti yang berlaku kepada Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini

“Baginda akan melihat calon ini untuk memilih individu mana yang terbaik. Namun, baginda terikat dengan keputusan Dewan Rakyat mengikut Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Itulah politik. Kadang-kadang kita tidak suka tetapi itulah kebenarannya,” jelasnya.

Malam tadi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu dijangka diadakan Jumaat ini di Istana Negara bagi membincangkan mengenai pemilihan calon Perdana Menteri yang mempunyai sokongan majoriti. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI