MEKAR dalam kelas tersendiri, si cantik Amyra Rosli kini muncul sebagai wajah baharu program majalah wanita, Nona sekali gus memakai tiara yang pernah terhias mengiringi perjalanan karier Mira Filzah sebelum ini.
Kini, bermulalah satu lembaran baharu dalam lipatan kerjaya si pemilik nama lengkap Nur Amira Izzati Rosli ini.
Gemuruh dalam teruja. Perasaan sedemikian yang dirasai aktres berusia 30 tahun itu tatkala berkongsi pengalamannya meneruskan legasi program wanita popular berkenaan sejak dua minggu lalu.
Wajah baharu Nona
Sepanjang temu bual bersama HibGlam baru-baru ini, berkali-kali wanita bermata bundar itu memohon maaf sekiranya dua episod terawal yang dikendalikannya tidak mencapai kehendak penonton setia program yang sudah bersiaran selama 36 tahun tersebut.
“Syukur alhamdulillah perjalanan sebagai pengacara sepanjang dua minggu ini berjalan lancar. Tipulah tidak takut tetapi saya perlu lawan perasaan itu demi tugas yang akan berjalan selama 52 minggu.
“Pada episod pertama, banyak respons yang saya terima, majoritinya kata-kata sokongan. Semua ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja. Sekali lagi, maaf jika ada kekurangan,” tuturnya.
Mengemudikan Nona sejak 8 Ogos lalu, dia mengakui terlalu banyak kekurangan yang perlu dipelajari untuk menjadi pengacara hebat setaraf dengan nama-nama besar seperti Puan Sri Normala Samsudin dan Fara Fauzana.
Kekok, bahasa tubuh dan teknik intonasi suara, menjadi antara aspek utama bidang pengacaraan yang sedang dipelajarinya dari semasa ke semasa.
“Pada awalnya sangat kekok. Tidak pandai gunakan bahasa tubuh yang betul dan cara lontaran suara antara yang saya masih belajar sehingga hari ini.
“Saya sedar masih banyak buat salah, namun daripada kesilapan itulah saya akan berusaha untuk belajar bagi memberikan yang terbaik kepada penonton.
“Insya-Allah, jika mempunyai masa dan peluang, saya teringin berguru dengan bekas-bekas pengacara Nona, sekali gus mengutip ilmu dan selok-belok dunia pengacaraan,” ujarnya.
Ditanya tentang kritikan netizen, Amyra optimis dan terbuka dengan perkara tersebut. Dia bahkan menganggap setiap kritikan sebagai satu proses pembelajaran untuk memperbaiki gaya pengacaraan.
“Tiada siapa yang dilahirkan sempurna. Kalau saya dikritik, mungkin itu datang daripada mereka yang tidak sukakan saya.
“Saya bukan lagi Amyra Rosli yang jiwanya lemah dan mudah tersinggung seperti dahulu. Kini jiwa saya lebih kuat dan tidak ambil pusing dengan apa sahaja perkara negatif yang dilemparkan netizen,” ujar isteri kepada aktor Amar Baharin itu.
Kesan pandemik
Mengakui pandemik Covid-19 memberi impak besar terhadap perjalanan kariernya sebagai anak seni, Amyra bagaimanapun bersyukur persediaan awal berjaya menyelamatkan kehidupan daripada dihimpit kesusahan.
“Pandemik memang beri impak besar kepada kami sebagai anak seni, namun syukur saya dan keluarga tidaklah sampai perlu mengikat perut menahan lapar.
“Alhamdulillah masih punya rezeki, mungkin kerana persediaan awal dengan membuat simpanan dan tidak berbelanja mewah antara yang berjaya menyelamatkan kami ketika ini.
“Syukur saya juga memiliki seorang suami yang mempunyai sifat yang sama iaitu bukan sejenis boros berbelanja,” jelasnya yang juga usahawan produk pelangsingan badan.
Jika ramai yang mentafsirkan pandemik sebagai sesuatu yang negatif, namun berbeza pula buat ibu kepada dua orang cahaya mata, Aqeef Anaqi, 3, dan Ayra Aryssa kini berusia setahun.
“Memang Covid-19 memberi banyak kenangan buruk tetapi saya lebih banyak pandang kepada sudut positif.
“Pandemik ini beri saya peluang untuk habiskan banyak masa dengan keluarga. Jika sudah mula pengambaran nanti, masa bersama anak-anak akan kurang. Lebih baik saya nikmati detik ini,” katanya.
Melontarkan pandangan terhadap situasi pandemik negara ketika ini, dia yang popular menerusi drama fenomena Nur itu menasihatkan khalayak agar tidak mudah meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.
“Benar negara sedang mengalami situasi yang genting ketika ini tetapi sebaik-baiknya janganlah mudah tuding jari dan lempar kesalahan terhadap mana-mana individu. Semua itu akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Lebih baik kita fokus untuk membantu membaik pulih negara dan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan selain berusaha bagaimana cara untuk teruskan kehidupan,” tuturnya lagi.
Sayu pemergian Siti Sarah
Sebak. Nada itu yang kedengaran ketika diminta berkongsi momennya bersama Allahyarham Siti Sarah Raissuddin.
Biarpun tidak pernah bersua muka, namun hubungan mereka dalam media sosial seperti kakak dan adik.
“Saya membesar dengan lagu-lagu Allahyarham. Apabila kami saling berhubung, dia seperti seorang kakak yang sangat ambil berat tentang adiknya.
“Bila dengar berita kematiannya, saya jadi terkejut dan apa yang membuatkan hati bertambah sayu ialah mengenangkan anak bongsunya kerana tidak dapat merasakan kasih sayang seorang ibu,” ujarnya sebak.
Tidak mahu terlalu meratapi, Amyra memberitahu kematian Allahyarham telah meninggalkan 1,001 pengajaran kepada semua pihak.
“Pelbagai jenis pengajaran yang kita boleh ambil daripada pemergiannya seperti pentingnya vaksin dan perbanyakkan amal soleh.
“Kebaikannya Allah SWT pertontonkan satu demi satu. Hilang kata-kata apabila melihat semua itu. Semoga kita yang masih hidup jadikan semuanya sebagai asbab untuk lebih mendekatkan diri dengan Tuhan,” tuturnya mengakhiri perbualan.