IPOH – Saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang dia melihat seorang wanita berjalan keluar dari Meru Desa Park melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal perumahan berkenaan.
Bekas penyelia penyelenggaraan Meru Desa Park, A. Murugiah, 58, menyatakan perkara itu ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Paul Yong Choo Kiong dalam perbicaraan kes rogol bekas exco kerajaan negeri itu
Murugiah berkata, menerusi rakaman tersebut wanita itu dilihat berjalan keluar menuju ke jalan utama pada 8 Julai 2019, kira-kira pukul 1.23 petang.
Katanya, wanita yang memegang sesuatu pada tangan kanannya itu juga dilihat berbual dengan seorang pengawal keselamatan sebelum palang di laluan keluar pondok pengawal dibuka.
“Saya boleh cam (rakaman CCTV) tetapi saya tidak tahu siapa wanita itu, yang saya tahu dia berjalan keluar dari taman perumahan tersebut,” katanya di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini hari ini.
Dalam prosiding tersebut, Rajpal turut bertanya kepada Murugiah sama ada pengawal keselamatan ditugaskan untuk merekod pergerakan keluar mana-mana individu atau tidak, dia berkata, mereka akan merekodkan maklumat di dalam buku rekod.
Rajpal turut mempersoalkan mengapa dia berhenti kerja pada bulan sama kes rogol membabitkan Choo Kiong, Murugiah menjawab bahawa dia berhenti kerja secara sukarela.
“Saya berhenti kerja atas kerelaan kerana tidak berpuas hati dengan jawatankuasa pengurusan perumahan tersebut selain disebabkan tekanan kerja,” katanya.
Sementara itu, ketika disoal peguam Salim Bashir yang turut mewakii Choo Kiong mengenai jumlah CCTV yang ada di perumahan berkenaan, Murugiah memberitahu terdapat 24 CCTV dipasang di kawasan tersebut.
Bagaimanapun katanya, bukan kesemua CCTV itu berfungsi malah tiada CCTV dipasang di jalan ke rumah Choo Kiong.
Murugiah juga bersetuju dengan Salim bahawa sukar untuk pihaknya mengenal pasti pergerakan mana-mana individu di kawasan berkenaan disebabkan ketiadaan CCTV.
Selain Murugiah, perbicaraan hari ini turut melibatkan rakan Choo Kiong sebagai saksi pendakwaan ke-22 iaitu Lee Yeong Wai.
Perbicaraan disambung pada 27 dan 28 September ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929