JOHOR BAHRU – Persatuan orang kelainan upaya (OKU) Sentral akan membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu yang khusus buat OKU, penjaga OKU dan warga emas.
PPV di Pusat Akuatik Arena Larkin Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu dijangka akan beroperasi dalam masa terdekat.
Senator Datuk Ras Adiba Radzi dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Negeri Johor.
Katanya, ini adalah sebahagian usaha bagi memudahkan dan memastikan golongan rentan yang berisiko tinggi iaitu OKU dan warga emas mendapat vaksin secepat mungkin serta tidak tercicir dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Untuk makluman, PPV ini hanya dikhaskan buat individu berumur 18 tahun ke atas yang tinggal di negeri Johor sahaja.
“Pihak kami juga akan memberi vaksin kepada tiga orang penjaga serta ahli keluarga OKU. Pemohon perlu mengisi maklumat OKU dan tiga orang penjaga serta ahli keluarga OKU dengan lengkap.
“Pendaftaran dibuka sehingga 25 Ogos 2021 jam 11.30 malam di pautan https://forms.gle/gVXk6jeAeo8Pru1v6,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ras Adiba berkata, pemohon perlu mengisi segala maklumat dengan tepat dan betul terutamanya bahagian nombor kad pengenalan, nombor telefon dan pengenalan Mysejahtera bagi memudahkan proses pemberian janji temu.
Katanya, permohonan hanya perlu dibuat sekali sahaja bagi keseluruhan permohonan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929