PUTRAJAYA – Kerajaan menyokong penuh pembangunan industri francais secara norma baharu khususnya dalam kalangan siswazah bagi memastikan aktiviti pembangunan kepimpinan dan keusahawanan mahasiswa dapat diteruskan walaupun dikekang oleh pandemik Covid-19.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, penganjuran Program Francais Siswa (PFS) 2021 misalnya mencerminkan komitmen kerajaan untuk menarik minat mahasiswa menceburi perniagaan francais.
“Saya melihat PFS ini adalah medium signifikan untuk melahirkan bukan sahaja usahawan biasa tetapi generasi franchisor akan datang yang akan membimbing francaisi di bawah kepimpinannya dan membawa jenama Malaysia ke persada antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program itu secara maya di sini semalam.
Peserta PFS 2021 akan saling bersaing dalam Cabaran Niaga Francais untuk merebut geran pembangunan perniagaan francais bernilai sehingga RM100,000.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan daripada Bahagian Pembangunan Francais dan Jualan Langsung KPDNHEP berkata, penglibatan institusi pengajian tinggi dalam program ini adalah usaha merealisasikan hasrat pertumbuhan lebih banyak francais mikro dan francais mampu milik.
“Usaha ini bakal mencipta peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat yang terkesan di kala negara menghadapi krisis kesihatan ketika ini,” katanya.
PFS merealisasikan inisiatif kerajaan untuk membangunkan perniagaan francais berkonsep mikro dan mampu milik.
Ia menawarkan pakej perniagaan francais bernilai RM50,000 dan ke bawah (mikro) serta RM100,000 dan ke bawah (mampu milik), bagi melahirkan usahawan francais.