KLANG – Kepantasan polis berjaya menyelesaikan kes samun bersenjata dalam tempoh sembilan jam menerusi penangkapan dua suspek di Taman Sentosa hari ini.
Kedua-dua suspek berusia 37 tahun itu diberkas pukul 1 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima laporan polis daripada seorang pengurus wanita berhubung pekerjanya disamun dua lelaki bersenjatakan sebilah parang dalam kejadian pukul 4.15 petang semalam.
Katanya, semasa kejadian mangsa yang sedang tidur di bilik hadapan rumah pekerja di Taman Klang Jaya.
“Penjenayah itu telah melarikan tiga buah telefon bimbit, wang tunai RM280 dan rantai serta cincin perak milik mangsa.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan polis berjaya menahan kedua-dua suspek,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Shamsul Amar menambah, turut dirampas bersama suspek adalah sebuah kereta jenis Proton Saga, satu buah telefon bimbit masing-masing jenama Samsung dan Vivo, sebilah parang berukuran 56 sentimeter, mesin gerudi dan mesin hacker.
Ujar beliau, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau termasuk seorang daripadanya terlibat dalam sembilan jenayah sebelum ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929