SEBERANG PERAI – Sebuah keluarga di Kampung 20, Pasir Gebu, Kepala Batas di sini mengambil inisiatif menghiasi kawasan jalan raya di hadapan rumah mereka dengan memasang bendera Jalur Gemilang dan negeri Pulau Pinang.
Lebih 320 helai bendera pelbagai saiz digantung di hadapan rumah dan di kiri kanan jalan raya sepanjang kira-kira 30 meter bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan.
Menurut Ibrahim Yahya, 57, dia sekeluarga membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli bendera bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara biarpun dalam suasana suram kerana pandemik Covid-19 sedang melanda negara.
“Oleh kerana kawasan hadapan rumah saya hanya jalan kampung, saya turut menghiasinya dengan bendera di sepanjang jalan dan ia tidak mengganggu lalu lintas.
“Saya juga gembira kerana dapat memasang bendera Pulau Pinang jenis pemidang yang agak sukar diperolehi biarpun telah mencari di beberapa kedai sebelum ini,” katanya kepada pemberita semalam.
Sementara itu, Ibrahim berkata, usaha yang dilakukan bersama isteri, dua orang anaknya dan menantu itu turut menarik perhatian penduduk kampung dan orang ramai yang melalui kawasan itu sehingga ada yang berhenti bagi merakamkan gambar kenangan.
“Apa yang lebih mengujakan apabila ramai orang yang melalui jalan ini melaungkan ‘merdeka’ selepas melihat banyak bendera di pasang.
“Kami sekeluarga amat gembira kerana usaha ini dapat menarik orang lain untuk sama-sama menghayati nikmat kemerdekaan yang kita kecapi,” katanya.
Ibrahim berkata, usaha tersebut dilakukan sejak kira-kira sepuluh tahun lalu, manakala dia dan keluarga akan memasang Jalur Gemilang sejak 1 Ogos sehingga sambutan Hari Malaysia 16 September.
“Sebelum ini saya memasangnya sendiri, namun oleh kerana keuzuran akibat penyakit buah pinggang yang dihadapi sejak kira-kira tiga tahun lalu, anak-anak dan menantu saya pula turut membantu memasangnya,” katanya lagi.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di sekitar negeri ini mendapati pemasangan Jalur Gemilang di premis-premis dilihat masih suram apabila hanya digantung di beberapa premis kerajaan, sekolah dan rumah ibadat. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929