MALAYSIAN Football League (MFL) akan berada di bawah teraju baharu Datuk Ab. Ghani Hassan selepas penyandang sebelum ini, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Presiden.
Tindakan Hamidin itu jelas menepati janji yang dibuat Mac lalu untuk melepaskan jawatan tersebut kerana dibimbangi akan timbul konflik kepentingan peribadi.
Justeru, rakan kongsi Liga Malaysia (Liga M) akur dengan peletakan jawatan Hamidin, selain sedia memberikan sokongan penuh kepada Ghani untuk memimpin MFL.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali menganggap tindakan Hamidin wajar bagi membolehkan beliau memberi sepenuh tumpuan terhadap tugas sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Saya faham apabila Datuk Hamidin mengambil keputusan untuk letak jawatan kerana kita tahu beliau mahu memberikan sepenuh perhatian kepada bola sepak negara.
“Sementara itu, Datuk Ab. Ghani boleh memberikan tumpuan mengenai bagaimana mahu menjadikan liga kita bergerak dengan lebih proaktif pada masa akan datang.
“Harapan saya adalah agar beliau (Ab. Ghani) dapat membantu kelab berhubung penswastaan serta bersama-sama mencari jalan bagi menjana pendapatan di waktu pandemik ini,” katanya.
Ab. Ghani yang sebelum ini merupakan CEO MFL telah dilantik sebagai presiden menerusi persetujuan Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL kelmarin selepas Hamidin meletakkan jawatan pada 12 Ogos lalu.
Pada masa sama, CEO Terengganu FC, Ab. Rasid Jusoh percaya, Ab. Ghani memiliki kredibiliti untuk memikul tanggungjawab itu berdasarkan kemampuannya memastikan kelancaran liga pada musim ini.
“Kita sedia maklum beliau memiliki kebolehan berdasarkan tugas yang dilakukan sebagai CEO sebelum ini, selain mampu menyakinkan pihak tertentu bagi memastikan liga terus berjalan,” ujar Ab. Rasid.