BALIK PULAU – Lebih 10 buah rumah di Kampung Sulup, Teluk Kumbar di sini dinaiki air sehingga paras lutut hari ini selepas hujan lebat turun tanpa henti sejak tengah hari tadi.
Rata-rata penduduk kini berada dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan tiada petanda air surut biarpun hujan mulai renyai di kawasan itu sekitar pukul 5 petang tadi.
Seorang penduduk, Zainul Md. Isa, 60, berkata, penduduk mengangkat perabot serta barangan elektrik ke tempat lebih tinggi apabila air naik sejak kira-kira pukul 4.30 petang tadi apabila hujan lebat turun dalam tempoh empat jam.
“Penduduk sedang bertungkus-lumus mengalihkan barangan penting memandangkan kebiasaannya air akan masuk dengan cepat ke dalam rumah.
“Masing-masing penduduk kini berada di dalam rumah dan menunggu bantuan sekiranya perlu dipindahkan termasuk sedaya upaya menahan air daripada masuk ke dalam rumah dengan menggunakan kain,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Noor Azli Bahari, 49, berkata, keadaan air di dalam rumahnya kini mencecah paras buku lali.
Beberapa lokasi berhampiran seperti di Kampung Masjid dan Kampung Paya termasuk di Titi Teras, Sungai Burung, Simpang Ampat dan Taman Manggis di sini turut dilaporkan dilanda banjir kilat.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929