KLANG – Kesedaran pembayaran zakat di Selangor dikatakan masih rendah apabila hanya 346,000 individu menunaikan kewajipan tersebut daripada 1.5juta penduduk Islam di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, jumlah itu hanya melibatkan 20 peratus keseluruhan yang layak dengan keluarga fakir miskin dijangka mencecah 75,000 pada tahun depan berbanding 65,000 ketika ini.
Katanya, ini tidak termasuk miskin sementara yang disantuni menerusi program Zakat Selangor Peduli (ZSP) yang dijangka memberikan manfaat kepada 15,000 penerima.
“Berdasarkan data Jabatan Statistik Negara terdapat 3.9 juta penduduk bumiputera di Selangor dengan 1.5juta daripadanya layak membayar zakat Selangor.
“Ketika ini, dalam rekod hanya 346,000 pembayar zakat iaitu lebih kurang 20 peratus dan jumlah tersebut sangat kurang. Kajian sedang dijalankan dalam menyampaikan dakwah kepada mereka yang lain untuk turut sama membayar zakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan 7,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) pengurusan jenazah Covid-19 hari ini.
Turut hadir adalah Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad.
Saipolyazan memberitahu, peruntukkan untuk disalurkan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 semakin meningkat termasuk menerusi program tertentu dijalankan agensi dan jabatan kerajaan.
Malah, beliau menjelaskan, hasil kajian pada tahun 2017 mendapati Selangor memerlukan RM1.1 billion setahun bagi menyantuni seluruh asnaf di negeri ini.
Dalam perkembangan berlainan, Saipolyazan berkata, pihaknya akan membantu seramai 1,000 guru tahfiz dengan peruntukkan RM500 seorang dan 250 institusi agama dengan bantuan RM1,500 yang kesemuanya diberikan secara one-off menerusi ZSP.
“Lebih 10 buah keluarga yang kehilangan ketua keluarga juga telah disantuni dengan bantuan kecemasan RM500 dan RM1,500 bagi khairat kematian selepas menerima laporan daripada pertubuhan bukan kerajaan, orang perseorangan, amil kariah dan pihak hospital sendiri,” ujarnya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929