BAGAN SERAI – Sempat laungkan azan sebelum angin kuat terbangkan atap zink rumah.
Dalam situasi cemas, ibu tunggal beranak lima, Zahida Mayadi, 40, bertindak memanggil semua anak-anaknya segera keluar dan berteduh di rumah jiran.
Rumah Zahida dan enam kediaman lain antara yang mengalami kerosakan dalam kejadian angin kuat semasa hujan lebat di Kampung Bukit Putus Jalan Kubu Gajah Gunung Semanggol semalam.
Zahida berkata, semasa kejadian pada pukul 3.30 petang itu dia yang berada di bilik tidur keluar ke ruang tamu dan membuka tingkap untuk melihat keadaan di luar rumahnya.
“Saya lihat angin seperti berpusing membawa bersama daun kering sampah menuju ke arah rumah .
“Terus saya melaungkan azan di hadapan tingkap ruang tamu sebelum terdengar bunyi dentuman kuat diikuti bumbung terangkat.
“Bimbang kejadian buruk, saya panggil anak-anak supaya segera keluar rumah,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Zool Din, 40, berkata, angin menerbangkan bumbung dapur rumah sewa yang diduduki dia sekeluarga.
“Masa kejadian saya keluar bekerja di Batu Lima Parit Buntar sebelum bergegas pula sebaik dihubungi isteri.
“Kejadian menyebabkan beberapa peralatan di dapur rosak kerana ditimpa hujan,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929