PETALING JAYA – Mana-mnana individu yang menjadi perdana menteri dari calon Barisan Nasional atau UMNO harus taat kepada titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Timbalannya bagi mewujudkan sebuah Kabinet berbentuk perpaduan dan pemuafakatan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu ditegaskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam tadi.
“Siapapun yang dinamakan sebagai calon perdana menteri daripada BN atau UMNO, tidak boleh mengikat dirinya dengan apa jua bentuk perjanjian untuk mengekalkan struktur Kabinet Perikatan Nasional yang lalu.
“Calon juga harus taat Seri Paduka dan timbalannya untuk mewujudkan sebuah Kabinet yang mampu menterjemahkan permuafakatan dan perpaduan semua parti-parti politik dalam tempoh untuk menangani Covid-19, menguruskan kesejahteraan rakyat dan agenda pemulihan negara, sebelum masa sesuai untuk diadakan PRU-15 akan datang,” katanya dalam satu status yang dimuat naik di laman Facebook miliknya hari ini.
Tambahnya, sebagaimana yang dimaklumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai titah Seri Paduka yang menegaskan “Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua” dalam sesi mengadap ketua-ketua parti semalam.
Menurut Asyaraf, tentunya ada sebab dengan penuh hikmah kenapa Agong menitahkan undi percaya dilakukan di Parlimen untuk mengabsahkan kedudukan Perdana Menteri, setelah dinamakan kelak oleh Seri Paduka. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929