MELAKA – Seorang wanita melalui detik cemas apabila terkunci di dalam rumah sendiri bersama bayinya berusia dua bulan sebelum diselamatkan sepasukan bomba dalam kejadian di Taman Kerjasama Bukit Beruang di sini semalam.
Difahamkan kejadian berlaku selepas wanita terbabit yang berusia dalam lingkungan 40-an mengalami kekejangan akibat terjatuh di dalam bilik air dan tidak mampu berdiri bagi membuka pintu pagar yang berkunci.
Komander operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Mohd. Iswandy Aripin berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.14 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama-sama sebuah jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan serta Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba lima minit kemudian.
“Apabila tiba di lokasi kita mendapati pintu pagar rumah tersebut berkunci dan pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk membukanya menggunakan peralatan khas.
“Mangsa kemudian ditemui di dalam bilik tidurnya dalam keadaan menahan sakit kerana mengalami kekejangan manakala bayinya diletakkan di atas katil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929