fbpx

Titik harapan rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan di pintu masuk Jabatan Kecemasan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang yang dipenuhi katil pesakit Covid-19 pada 7 Julai lalu.

Hari-hari yang dilalui pada minggu lalu sarat dengan emosi sedih, cemas dan takut. Pemergian Siti Sarah Raissuddin pada pagi Isnin minggu lalu meruntun hati rakyat Malaysia.

Kita bersedih bukan sebab Allahyarham menjadi korban pertama Covid-19 kerana setakat kelmarin virus jahat tersebut sudah meragut sebanyak 12,510 nyawa penduduk negara ini.

Ramai yang memberi perhatian kepada Siti Sarah bukan kerana beliau seorang penyanyi popular, tetapi lebih tepat lagi sebagai seorang ibu.

Perjuangan melahirkan anak secara pembedahan ketika usia kandungan lapan bulan dan kemudian ditidurkan itu yang lebih meruntun hati semua orang.

Pada minggu lalu juga iaitu hari Jumaat, Malaysia merekodkan kes jangkitan harian tertinggi iaitu sebanyak 21,668 kes.

Satu angka yang cukup menggerunkan walaupun sudah sebulan kes harian di negara ini mencatatkan lima angka.

Keadaan ini sudah cukup menggambarkan seolah-olah tiada lagi ruang yang selamat kecuali berada di rumah sendiri.

Jadi apabila seorang pegawai perubatan kesihatan awam menulis bahawa ‘ada titik cahaya di hujung terowong yang gelap’ bagi menggambarkan mengenai situasi pesakit Covid-19 yang semakin berkurangan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kita mula berasa lega.

Cerita pakar anestesiologi HKL itu, jika dulu, mayat berbungkus berselang-seli dengan katil pesakit hidup dan kanvas memenuhi segenap ruang dan laluan di jabatan kecemasan. Situasi itu sudah tiada lagi seminggu kebelakangan ini dan lantai pun sudah nampak.

Sekurang-kurangnya ada perkhabaran yang melapangkan dada. Semoga titik cahaya ini akan terus bersinar terang-benderang.

Sudah 570 hari penduduk Malaysia ‘berdamping’ dengan Covid-19. Jadi kita sudah lelah. Letih melalui satu demi satu fasa terpaksa berkurung dalam rumah.

Ada yang hilang pekerjaan. Ada yang menyara keluarga dengan hanya separuh gaji. Petugas barisan hadapan sudah burnout.

Anak-anak kecil yang bergelar yatim piatu semakin bertambah hari demi hari. Jauh di sudut hati, kita sebenarnya hanya mahu hidup dalam keadaan sedikit normal.

Program imunisasi yang giat dijalankan terutama di Lembah Klang nampaknya sudah mula membuahkan hasil. Covid-19 memang tidak boleh dihapuskan dan selamanya kita akan hidup bersama virus ini.

Kelmarin kerajaan mengumumkan pula kelonggaran tambahan bagi penerima dua dos vaksin melibatkan 11 aktiviti ekonomi bagi negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara.

Ini tanda jelas kita sudah bersedia untuk hidup ke fasa-fasa seterusnya. Bagi pentaksub teori konspirasi dan golongan antivaksin jangan pula menaruh perasaan cemburu.

Sempat lagi untuk buat pusingan U. Ambillah vaksin, semakin ramai divaksin semakin cepat sektor ekonomi dan sosial dibuka dan kita pasti akan menang.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI