KABUL – Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) bertindak menutup sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul bagi memberi ruang kepada pekerja kedutaan dan warganegaranya menaiki penerbangan keluar dari Afghanistan, lapor Badan Penyiaran British (BBC), hari ini.
Tentera AS dipercayai terpaksa menembak dua lelaki bersenjata manakala tiga individu dilaporkan maut selepas terjatuh dari pesawat yang sedang terbang ketika berpaut pada sayapnya.
Beberapa pesawat tentera AS didakwa mendarat di lapangan terbang itu termasuk sebuah yang membawa tentera marin bagi membantu proses pemindahan keluar rakyat AS.
Selain AS, Jerman dan Britain turut mengambil tindakan serupa apabila semua kakitangan serta warganegara mereka diarahkan meninggalkan Afghanistan selepas tentera Taliban mengisytiharkan kemenangan mereka.
Pengisytiharan itu dibuat selepas Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani melarikan diri ke luar negara sebaik sahaja mendapat maklumat tentera Taliban berarak menuju ke ibu pejabat Presiden, hujung minggu lalu.
Kabul adalah kota besar terakhir di Afghanistan yang jatuh ke tangan Taliban sejak kumpulan itu meluaskan jajahan takluk mereka selepas tentera AS berundur dari negara itu.
Sebaik sahaja Taliban berjaya merebut Kabul, ribuan penduduk tempatan dan luar negara mengerumuni lapangan terbang untuk meninggalkan Afghanistan kerana tidak sanggup berada di bawah pemerintahan militan itu.
Proses pemindahan keluar rakyat asing dan penduduk Afghanistan yang merupakan tali barut AS giat berlaku tetapi tidak berjalan lancar kerana masalah visa.
Tidak lama selepas itu, Jurucakap Pentagon, John Kirby memaklumkan semua penerbangan keluar masuk ke Kabul ditangguh atas sebab berjaga-jaga.
“Pasukan tentera AS berada di tempat kejadian bersama tentera Turki dan tentera antarabangsa yang lain untuk mengawal keadaan negara orang. Kami tidak tahu berapa lama situasi ini akan berlaku” kata Kirby. – Agensi