BERLIN – Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier hari ini mengkritik kuasa Barat kerana situasi huru-hara di lapangan terbang Kabul di mana beribu-ribu rakyat Afghanistan berkumpul untuk meninggalkan negara itu setelah pemberontak Taliban kembali berkuasa.
“Senario terdesak di lapangan terbang Kabul memalukan Barat,” kata Steinmeier yang menyifatkan situasi di Afghanistan itu sebagai ‘tragedi kemanusiaan yang perlu ditanggung oleh kita semua.’
“Jerman mempunyai kewajiban untuk melakukan apa sahaja bagi membawa pulang rakyat kami dan semua rakyat Afghanistan yang membantu mereka selama bertahun-tahun,” tambah Steinmeier yang sebelum ini menjawat jawatan menteri luar.
Menurutnya, Jerman juga harus menolong mereka yang berdepan bahaya tindakan balas dendam oleh Taliban di Afghanistan termasuk wanita.
“Kegagalan usaha bertahun-tahun untuk membangun masyarakat stabil dan berdaya maju di Afghanistan menimbulkan persoalan tentang dasar luar dan penglibatan ketenteraan kita pada masa lalu dan di masa hadapan,” katanya.
Tentera Jerman dikerah selama hampir dua dekad di Afghanistan sebagai sebahagian daripada operasi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dipimpin oleh Amerika Syarikat (AS).
Jerman menghantar seramai 150,000 kakitangan terdiri daripada lelaki dan wanita sekali gus penyumbang kedua terbesar NATO di Afghanistan selepas AS.
Jerman mengundurkan pasukan tentera terakhirnya dari Afghanistan akhir Jun lalu. – AFP