TANAH MERAH – Sembilan buah premis terbakar dalam kejadian di zon bebas cukai Bukit Bunga yang menjadi persinggahan pengguna jalan raya Lebuh Raya Timur-Barat di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Rafain Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.22 pagi.
Katanya, seramai 20 anggota bomba dari Balai Bomba Tanah Merah dan Jeli tiba di lokasi itu kira-kira pukul 9.44 pagi sebelum berjaya mengawal kebakaran lima minit kemudian.
“Kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. Peniaga-peniaga di situ tidak sempat untuk mengambil alat pemadam api yang berada di dalam premis mereka ekoran api merebak dengan pantas.
“Siasatan mendapati, sembilan buah kedai itu terbakar 80 peratus. Kebakaran merebak dengan cepat melalui bahagian atap zink kerana struktur premis adalah separuh kekal dan diperbuat daripada kayu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut Mohd. Rafain, bomba masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian yang ditanggung oleh pemilik kepada sembilan buah premis itu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929