KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, nama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menjadi saksi perbicaraan dana RM2.28 bilion, telah digugurkan daripada writ saman yang difailkan syarikat itu.
Mohd. Hazem Abd. Rahman, 49, bersetuju bahawa keseluruhan nama bekas ahli lembaga pengarah 1MDB dan pengurusan kanan termasuk beliau tidak lagi tersenarai sebagai defendan dalam tuntutan saman tersebut.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB itu berkata, hingga kini beliau masih belum menerima writ saman yang difailkan pada Mei lalu dan hanya mengetahui saman itu daripada media.
Ketika ditanya oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Mohd. Hazem bersetuju nama-nama pegawai `ikan bilis’ yang tidak tersenarai sebagai saksi mahupun gagal dikesan, bagaimanapun masih kekal dalam writ saman tersebut.
Menjawab soalan balas pihak pembelaan, beliau tidak bersetuju bahawa wujud rancangan awal yang diatur oleh pihak pendakwaan untuk menggugurkan nama pegawai-pegawai atasan 1MDB daripada writ saman. – K! ONLINE