PETALING JAYA – Firma pembrokeran ekuiti digital, Rakuten Trade menyasarkan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia, FBM KLCI mampu mencecah paras 1,650 mata menjelang hujung tahun ini, disokong pertumbuhan perolehan kukuh, penilaian semasa yang rendah dan kemasukan semula dana asing.
Ketua Penyelidiknya, Kenny Yee berkata, dana asing dijangka kembali ke pasaran rantau ASEAN yang buat masa ini menawarkan diskaun menarik, manakala ekuiti Malaysia yang dilihat paling murah berbanding pasaran serantau menjanjikan peluang keemasan buat mereka.
“Pemangkin utama untuk kepulangan dana asing ialah penilaian yang rendah, manakala menjelang hujung tahun ini, akan ada dana yang melihat untuk menyusun dan membuat penjajaran semula pada portfolio masing-masing, jadi mereka akan melihat kepada pasaran-pasaran selain Amerika Syarikat.
“Saya berpandangan kita akan melihat kemasukan semula dana asing ke rantau ini dan pasaran domestik memiliki sokongan kukuh untuk mencapai 1,650 mata.
“Buat masa ini, kami tidak melihat sebarang risiko penurunan melainkan sesuatu yang besar dan tidak dijangka berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi webinar Unjuran Pasaran Suku Ke-3 2021 yang diadakan secara maya semalam.
Malaysia merekodkan aliran keluar dana asing berjumlah AS$5.781 bilion (RM24.53 bilion) pada 2020, manakala untuk tahun ini, aliran keluar dana asing telah mencecah AS$1.4 bilion (RM5.94 bilion) setakat 11 Ogos lalu.
Hal sama turut berlaku di negara-negara ASEAN lain, yang mana Filipina menyaksikan aliran keluar berjumlah AS$1.712 bilion (RM7.26 bilion), Thailand AS$3.395 bilion (RM14.4 bilion), manakala Vietnam AS$1.266 bilion (RM5.37 bilion) tahun ini.
Menurut Yee, ringgit turut dijangka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat, disokong pemulihan harga minyak mentah selain jangkaan kemasukan semula dana asing dan ia diunjurkan berlegar di sekitar RM4.10 hingga RM4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat menjelang hujung tahun.
Sementara itu, mengulas mengenai impak situasi politik semasa kepada pasaran ekuiti domestik, Yee menjelaskan walau apa yang bakal berlaku, sebarang perkembangan mampu memberikan sedikit kejelasan buat pelabur.
“Sejauh mana kemelut politik ini akan berlarutan tidak dapat dipastikan, namun sekiranya ia mampu diselesaikan dengan lebih cepat berbanding yang dijangka sudah pasti bakal mencipta sentimen positif kepada pasaran,” katanya.