fbpx

Pelbagai ikhtiar untuk selamatkan kerajaan PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin melambai tangan semasa tiba di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.- SHIDDIEQIIN ZON

PUTRAJAYA – Jangka hayat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan berakhir semalam selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan beliau.

Ia sekali gus menyaksikan seluruh menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin turut meletakkan jawatan masing-masing.

Dalam nada sedih, Muhyiddin berkata, pelbagai ikhtiar yang telah beliau lakukan untuk menyelamat kerajaan PN sehingga ke saat akhir, namun tidak berhasil disebabkan ada pihak rakus merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

Ahli Parlimen Pagoh itu me­nganggap apa yang berlaku adalah ketentuan Allah yang merupakan satu episod yang menyaksikan jatuh bangun dalam karier politiknya terma­suk pernah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah mengangkat martabat perjuangan saya sehingga diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri.

“Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini (semalam) adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya dalam nada sebak ketika membuat perutusan khas secara langsung menerusi televisyen semalam.

Muhyiddin berkata, tindakannya melepaskan jawatan Perdana Menteri dan seluruh jemaah menteri adalah selaras dengan sumpah jawatan untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Muhyiddin yang akan menjalankan tugas caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik berkata, beliau berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.

Pada masa sama, beliau berharap segala dasar-dasar kerajaan yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang selain optimis bahawa negara akan dapat keluar daripada krisis pandemik Covid-19 dalam masa terdekat.

“Saya teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Klang yang mana jumlah kemasukan pesakit Co­vid-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan,” ujarnya.

Muhyiddin berkata, beliau dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri telah cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa dan melindungi kehidupan rakyat dalam tempoh krisis Covid-19 yang masih dihadapi ketika ini.

“Namun, sebagai manusia pastinya ada salah dan silap di sana ini. Jadi saya memohon maaf,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI