IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa masa yang direkodkan pada sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di pondok pengawal Sierra Meru Desa Park dan sebuah restoran makanan segera di Meru tidak selari dengan masa sebenar.
Perkara itu dimaklumkan saksi ke-19 iaitu Inspektor Rashidi Othman daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam prosiding kes rogol membabitkan bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong.
Menurut Rashidi, masa yang dicatatkan dalam rakaman CCTV di pondok pengawal perumahan tersebut cepat 10 minit daripada waktu sebenar manakala masa yang direkodkan di kaunter pembayaran pandu lalu restoran berkenaan pula lewat tujuh minit.
“Semasa melihat rakaman CCTV di pos pengawal, saya dapati masa pada semua CCTV di dalam dekoder dengan masa yang tertera pada jam tangan saya mempunyai perbezaan kira-kira 10 minit.
“Semakan CCTV di restoran berkenaan juga mendapati masa yang tertera pada skrin kira-kira kurang tujuh minit lewat daripada masa yang disemak pada jam tangan saya,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fitri Sadarudin di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi Ipoh di sini.
Menjelaskan lanjut soalan Mohd. Fitri mengenai perbezaan masa pada rakaman CCTV dan jam tangannya, Rashidi memberitahu, masa pada jam tangannya lebih tepat kerana aturan masa jam itu diselarikan secara automatik mengikut di negara tempatnya berada.
“Saya percaya jam tangan saya mengikut waktu Malaysia kerana tetapan yang dibuat secara automatik dan saya juga membuat semakan melalui telefon bimbit,” katanya yang bertugas sebagai Ketua Balai Polis Jelapang semasa kejadian. – K! ONLINE