PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memberi jaminan untuk terus mendukung konsep neutrality dan ‘government of the day’ dalam melaksanakan semua dasar yang telah
diluluskan.
Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, jabatan dan agensi di bawah KPLB akan kekal komited melaksanakan amanah dan tanggungjawab memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.
Pada masa sama katanya, pihaknya juga akan tetap memainkan peranan utama membangunkan dan menjamin kesejahteraan masyarakat luar bandar terutama dalam mendepani impak pandemik Covid-19.
“Program-program outreach vaksinasi Covid-19 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok di luar bandar.
“Kesemua 1,165 program pembangunan untuk memulih dan merancakkan ekonomi di luar bandar akan diteruskan meliputi pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pemerkasaan modal insan luar bandar melibatkan peruntukan RM5.78 bilion,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Jailani berkata, warga KPLB juga akan sentiasa memastikan amanah terus dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat khususnya di luar bandar seiring dengan moto ‘Luar Bandar Sejahtera’. -K! ONLINE.