ALOR SETAR – Selepas tewas kepada Selangor FC empat hari lalu, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bangkit apabila mudah ‘membaham’ pasukan jiran, Penang FC dengan jaringan 4-1 di Stadium Darul Aman di sini malam ini.
Meskipun memulakan perlawanan tanpa dua tonggak import iaitu Renan Alves dan Anumanthan Kumar, tuan rumah tetap menampilkan aksi garang menerusi rembatan Rabih Ataya yang hanya sedikit melepasi palang pada minit ke-14.
Hanya tiga minit kemudian, rembatan Tchetche Kipre dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Penang FC, Sam Sommerville untuk jaringan pembukaan perlawanan.
Kipre kemudiannya turut terlibat dalam gol kedua Kedah pada minit ke-22 apabila dia bijak melorongkan bola kepada ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar yang berseorangan dalam kotak penalti pasukan lawan.
Baddrol yang cukup kaya dengan pengalaman nyata tenang untuk hanya melakukan sepakan leret tanpa dapat diselamatkan Sommerville.
Penang FC yang turun tanpa empat pemain import terdiri daripada Casagrande, Endrick Dos Santos, Rafael Vitor serta Ryuji Utomo kemudiannya terus terumbang-ambing dalam menahan asakan KDA FC.
Kesempatan itu terus dimanfaatkan Kipre untuk menjaringkan gol ketiga KDA FC apabila dia bijak memperdayakan seorang pemain pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti untuk gol ketiga tuan rumah pada minit ke-38.
Pemain tengah Penang FC, David Rowley bagaimanapun berjaya menghasilkan satu gol buat pasukan pelawat seminit sebelum separuh masa pertama berakhir apabila rembatannya dari dalam kotak penalti gagal dijangkau penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Bersambung babak kedua, KDA FC jelas tidak menunjukkan tanda simpati apabila mereka kembali mengasak kubu lawan secara bertali arus.
Hasilnya, penyerang utama mereka dari Liberia, Kpah Sherman mencatat nama sebagai penjaring gol keempat KDA FC menerusi satu tolakan mudah selepas menerima hantaran lintang dari rakan di barisan pertahanan, Mohd. Rizal Ghazali.
Berdepan situasi selesa, Ketua Jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak kemudiannya mengambil kesempatan untuk membuat empat pertukaran sekali gus dengan mengeluarkan Rabih, Baddrol, Mohd Syazwan Zainon dan Amirul Hisyam Awang Kechik.
Pemain-pemain gantian antaranya Asnan Ahmad, Mohd. Fadzrul Danel dan Muhammad Faizat Mohamad Ghazli bagaimanapun turut menampilkan aksi cemerlang dengan terus memberi tekanan kepada pasukan pelawat hingga merencatkan usaha Penang FC bagi menambah jaringan. – K! ONLINE