fbpx

Jakoa nafi penduduk Orang Asli tiada makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas Pusat Khidmat ADUN Chenderiang mengagihkan bantuan makanan di perkampungan Orang Asli yang dikenakan PKPD baru-baru ini. - Gambar hiasan

IPOH – Dakwaan kononnya penduduk Orang Asli yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Batang Padang dekat Tapah tidak dibantu dan hanya minum air sungai disangkal sama sekali.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri Perak/Kedah menyifatkan dakwaan yang dilemparkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui media baru-baru ini tidak tepat.

Jakoa negeri Perak dan Kedah dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak 23 buah Kampung Orang Asli (KOA) termasuk tiga di Mukim Bidor dikenakan PKPD sehingga 24 Ogos ini.

Menurut kenyataan itu, bantuan bakul makanan telah diagih-agihkan kepada penduduk yang terkesan di semua perkampungan menerusi Jakoa selain pihak-pihak berkaitan.

“Pihak Jakoa negeri Perak dan Kedah serta Jakoa Daerah Batang Padang dan Muallim telah menghantar bantuan bakul makanan kepada 4,949 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di Batang Padang pada 24 Julai lalu.

“Bantuan turut diagihkan oleh Pejabat Ahli Parlimen Tapah pada 27 Julai dengan menghantar 5 kilogram (kg) beras kepada semua KIR Orang Asli dalam Parlimen Tapah,” ujar kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu lagi, pada 13 Ogos Pejabat Daerah Batang Padang juga menghantar bakul makanan kepada enam KOA melibatkan 417 KIR.

Bantuan turut dihantar kepada penduduk 13 buah KOA melibatkan 794 penerima KIR.

“Selain itu, Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderiang juga menghantar ayam, ikan dan sayur-sayuran kepada 19 buah KOA di kawasan Chenderiang.

“Diharapkan mana-mana individu, NGO atau sesiapa di luar sana tidak membuat spekulasi dan tular berkaitan keadaan yang tidak tepat seperti ini lagi,” kata kenyataan itu. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI