SEGAMAT – Gelagat seorang lelaki yang mengenakan kostum karakter ‘hantu cina’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Serbaguna di Jalan Genuang, di sini, semalam menarik perhatian ramai.
Sin Chong Yie, 35, bertindak sedemikian hanya kerana mahu menghiburkan petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan nyawa untuk memastikan imuniti kelompok dapat dicapai dengan segera.
“Kostum ini dibeli saya beli secara dalam talian dan menerimanya melalui penghantaran pos dua hari lalu. Baju, seluar, penutup kepala selain wang kertas tiruan itu dibeli dengan harga RM30.
“Saya berani memakai kostum itu pada hari siang namun tidak berani memakainya sewaktu malam hari kerana terasa takut juga, “selorohnya ketika ditemui di kediamannya di Taman Perumahan Bukit Siput di sini hari ini.
Penghantar makanan yang mendapat panggilan janji temu vaksin seminggu lalu dan membuat keputusan memakai kostum tersebut setelah mendapat kebenaran pihak PPV tempatnya disuntik terlebih dahulu.
“Proses bagi suntikan pertama vaksin pada jam 3 petang itu berjalan dengan lancar dan saya bercadang akan melakukan gimik lain untuk suntikan dos kedua pada 9 September nanti. Tunggulah kejutannya nanti,” ujarnya. – K! ONLINE