MONTREAL – Bintang tenis Itali, Camila Giorgi muncul juara Terbuka Kanada selepas mengatasi pilihan keempat, Karolina Pliskova pada aksi final di Montreal awal pagi semalam.
Giorgi berjaya menewaskan Pliskova dengan kemenangan straight-set 6-3, 7-5 sekali gus menjadi gelaran terbesar dalam karier profesionalnya.
“Sudah pasti saya sangat emosi dengan kemenangan ini kerana ia satu perlawanan yang menakjubkan. Saya juga gembira kerana sekali lagi berjaya mempamerkan aksi yang cukup baik berdepan Pliskova.
“Saya tahu ia bukan tugas mudah apabila berdepan pemain berpengalaman seperti Pliskova tetapi saya telah lakukan persiapan rapi selain pengalaman menentangnya sebelum ini untuk muncul juara,” katanya.
Pemain ranking No. 71 dunia itu kini merakam kemenangan hatrik ke atas Pliskova dan tentunya menjadi tonik terbaik menghadapi Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) hujung bulan ini.
Sebagai rekod, Giorgi pernah mengatasi Pliskova pada Kejohanan Antarabangsa Eastbourne sebelum mengulanginya di pusingan ketiga temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Dia (Giorgi) bermain dengan sangat baik. Tahniah atas kemenangan ini,” jelas Pliskova.
Hasil kemenangan itu, Giorgi dijangka melonjak ke ranking 35 dunia buat julung kalinya sejak Mei 2019. – AGENSI