TAWAU – Sebanyak 1,324 karton rokok seludup bernilai RM182,604 ditemui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam longgokan plastik hitam ditinggalkan di Jalan Pantai, Tawau lama semalam.
Pemeriksaan ke atas plastik hitam terbabit menemui sebanyak 359 karton rokok jenama Fit (Mild Menthol), 449 karton rokok jenama Mezzo, 246 karton rokok jenama Premiro dan 270 karton rokok jenama Djarum Black.
Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, semua rokok berkenaan ditemukan oleh anggota OCP Daratan ESSCOM yang terdiri daripada enam anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, empat anggota 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) yang diketua seorang anggota ESSCOM sekitar pukul 11.15 malam.
“Menerusi maklumat awam, kita melakukan pemeriksaan dan serbuan ke atas satu lokasi yang disyaki menjadi kawasan panas penyeludupan rokok di daerah ini.
“Hasil pemeriksaan, pasukan OCP Daratan ESSCOM berjaya menemui beberapa longgokan plastik hitam yang ditinggalkan di lokasi terbabit tanpa pengawasan dipercayai mengandungi rokok yang belum dibayar cukai Kastam dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM182,604.80.
“Semua rokok itu dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran Indonesia ke daerah Tawau untuk diedarkan dalam pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Fuad menyatakan semua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929